Monday 15 September 2014

Majlis Apresiasi & Penyerahan Alat Pembedahan Harmonic

SERDANG, 21 Ogos 2014 Pusat Sumber & Pendidikan Kanser (CaRE), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyerahkan alat pembedahan Harmonic iaitu Mesin Ethicon-Surgery Generator (Gen11) kepada Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK), UPM  pada Majlis Apresiasi CaRE 2014 yang telah diadakan. 

Ethicon-Surgery Generator (Gen11) merupakan sebuah mesin yang digunakan dalam rawatan kanser bagi tujuan pemotongan dan pembekuan tisu lembut dan salur darah. Mesin ini amat diperlukan bagi rawatan pesakit kanser yang kritikal. Dengan penyerahan mesin ini kepada FPSK UPM, lebih ramai pakar dalam bidang kesihatan terutamanya yang berkaitan dengan kanser akan dapat dilahirkan dan memberi manfaat kepada pesakit. Inisiatif untuk mendapatkan tajaan ini merupakan usaha murni oleh Dr.  Andi Anggeriana Binti Andi Asri, Timbalan Pengarah CaRE & Encik Eirfan Ghani.

 Mesin Gen11 berharga RM 125,000.00 diserahkan kepada Prof Dr. Norlijah Othman 

Mesin yang bernilai RM 125,000.00 tajaan Jakel Sdn. Bhd.  ini diserahkan oleh Yg. Bhg. Prof Dr. Latiffah Binti A. Latiff, Pengarah CaRE kepada Prof Dr. Norlijah Binti Othman, Dekan FPSK, UPM untuk kegunaan Unit Gine Onkologi, Jabatan Obstetrik & Ginekologi FPSK UPM. Turut sama hadir dalam Majlis Apresiasi CaRE 2014 ini adalah Prof Dr. Mohd Azmi Mohd Lila, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Datuk Hj Sheikh Ahmad Dusuki, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Prof Dr. Mohd Azmi Mohd Lila dan Datuk Sheikh Ahmad Dusuki menyampaikan ucapan


Selain daripada penyerahan alat pembedahan tersebut, majlis seumpama ini juga diadakan untuk meraikan dan menghargai jasa baik, kerjasama dan sumbangan yang dihulurkan oleh survivor kanser, sukarelawan, organisasi dan orang perseorangan yang terlibat dengan CaRE sama ada secara langsung atau tidak langsung.  CaRE berharap majlis seumpama ini dapat terus menjalinkan hubungan kerjasama yang sihat dan berterusan antara organisasi demi manfaat bersama. 

No comments:

Post a Comment