Wednesday 10 September 2014

WIRA & WIRAWATI KANSER_TENANGLAH DIKAU DI SANA

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dari Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita akan kembali. Setiap yang hidup pasti akan mati. Beberapa hari yang lalu, CaRE telah dimaklumkan bahawa dua individu yang sudi berkongsi cerita dan pengalaman di dalam buku terbitan CaRE iaitu KANSER 1 ANUGERAH telah dijemput pulang menghadap Ilahi. Terkejut dan terpana seketika saat menerima berita yang mengejut sedemikian. Terbayang-bayang lagi ketika sedang melawat dan mengadakan sesi 'interview' bersama mereka di awal tahun ini. 

En Ab Razak Mohd Yusoff, 57 tahun yang menghidap kanser paru-paru 
Putri Nurfaiz Megat Ariffin, 24 tahun yang menghidap Leukemia

Al-Fatihah buat wira dan wirawati kanser ini. Semoga roh mereka berdua ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Mereka telah banyak berjasa kerana sudi berkongsi pengalaman dan kisah hidup mereka yang dapat menjadi inspirasi buat individu di luar yang memerlukan panduan dan semangat dalam menempuhi ranjau kehidupan. CaRE mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham En Ab Razak dan Adik Putri, sesungguhnya pemergian anda berdua amat kami rasai dan CaRE juga ingin mengucapkan terima kasih di atas segala yang telah mereka kongsikan bersama kami. 

Bagi yang ingin mengikuti kisah mereka, anda boleh dapatkan buku KANSER 1 ANUGERAH dengan menghubungi pihak CaRE iaitu Pn Norsidawati/ Pn Adilah di talian 03-89471011. Terdapat banyak lagi kisah menarik wira & wirawati kanser di dalam buku ini yang juga boleh dijadikan sebagai pemangkin untuk terus berjuang. 





Di kesempatan ini juga, CaRE ingin memohon maaf di atas ketidak aktifan blog ini selama beberapa tempoh waktu. Sepanjang blog ini mendiamkan diri, lebih banyak maklumat semasa atau aktiviti yang dianjurkan CaRE telah di 'update' di page Facebook CaRE UPM. 

Kini, blog ini akan kembali aktif...teruskan follow kami supaya anda semua akan mendapat manfaat bersama. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment